Para Pembaca

Thursday 12 April 2012

Pelanduk Berani Negeri Terbilang

Raja Iskandar Syah sangat suka berburu. Baginda mempunyai anjing perburuan yang baik-baik. Perang baginda juga memiliki ilmu dan firasat hutan yang tinggi. Mereka boleh menjejak pelanduk. Melihat jejaknya sahaja mereka boleh mengagak sebesar mana pelanduk yang lalu di sesuatu denai.
            Raja Iskandar Syah pandai memanah. Baginda juga mahir melempar lembing. Pada suatu hari, baginda berburu di sebuah hutan. Di hutan itu ada sebatang sungai. Pokok-pokok di situ tinggi-tinggi bagaikan mencapai awan.
            Di hutan itu baginda melepaskan anjing perburuan. Peran baginda mulalah melihat jejak pelanduk dan kijang yang lacuh di atas tanah. Sesungguhnya binatang itu terlalu banyak di situ.
             Semasa memburu itu, banyaklah pelanduk dan kijang yang mereka temui. Namun, tidak seekor pun daripada binatang itu yang dapat dipanah atau dilembing. Pengiring-pengiring baginda juga tidak berjaya mendapatkan binatang buruan walaupun seekor.
             Sudah banyak pelanduk dan kijang yang dilembing oleh baginda. Namun, tidak seekor pun yang kena. Lembing baginda hanya tercacak di tanah.
             " Binatang di hutan ini sungguh tangkas dan cerdik," titah baginda.
             Setelah puas menjejak kijang dan pelanduk di kawasan pamah dan di bukit-bukit yang rendah, Raja Iskandar Syah menghala ke arah sungai yang jernih itu. Sewaktu meredah semak samun, 
baginda terdengar bunyi salakan anjing perburuan di tebing sungai.
             " Tentu anjing itu sedang mengejar pelanduk," titah baginda kepada pembesar.
             " Bunyi salakan anjing itu lain benar, tuanku," kata peran yang berada di belakang baginda.
             Suara anjing semakin kuat. Baginda dan beberapa orang pengiring sudah berada di tepi tebing sungai. Tiba-tiba semua  mata tertumpu kepada seekor pelanduk putih yang cantik. Pelanduk itu melompat-lompat, laksana orang sedang membuka silat.
             Raja Iskandar Syah sudah siap mengangkat busur serta anak panah. Anak panah itu mahu dilepaskannya.
             "Selincah mana kamu memencak sekalipun, anak panahku ini akan menembusi tubuhmu." titah Raja Iskandar Syah.
             Kedengaran suara anjing baginda sudah hampir benar. Benarlah kini pelanduk itu sedang berhadapan dengan anjing perburuan baginda. Sang pelanduk tetap melompat licah.
             Raja Iskandar Syah tidak jadi melepaskan panah. Baginda dan pengiring terpegun melihat kelincahan pelanduk itu. Anjing perburuan baginda cuba menghampiri pelanduk itu sambil menyalak kuat.
             Ternyata anjing perburuan berasa cuak akan pelanduk yang lebih besar daripadanya itu. Sang pelanduk terus melompat lincah. Anjing perburuan baginda dengan berani menerkam ke arah pelanduk yang tetap melompat lincah.
             Terkaman anjing perburuan baginda ternyata tepat pada sasarannya. Namun, sang pelanduk lebih waspada dan hati-hati. Sambil melompat tinggi, sang pelanduk membengkokkan kaki belakangnya. Apabila kaki hadapannya mendarat di atas tanah, pelanduk menerajang anjing perburuan baginda.
             Anjing perburuan tersungkur lalu jatuh ke dalam sungai. Pelanduk melompat-lompat lagi apabila melihat anjing itu bersusah payah berenang menyelamatkan diri. Seketika kemudian, pelanduk itu menghilangkan diri di dalam semak-samun.
            Raja Iskandar Syah dan para pengiring baginda terpegun melihat kejadian itu. Baginda kemudian berehat sambil bersandar pada sepohon kayu. Pohon itu rendang dan halus daunnya.
            "Sedangkan pelanduknya begitu berani. Baiklah tempat ini dijadikan negeri," titah Raja Iskandar Syah.
            "Benar seperti titah tuanku itu," kata pengiring baginda.
            "Apakah nama pokok tempat kita bersandar ini?" tanya baginda.
            "Pokok melaka namanya, tuanku," jawab pengiring baginda.
            "Jika begitu, kita namakan negeri ini Melaka," titah baginda.
            Selepas itu negeri Melaka pun dibukalah. Di bawah pemerintahan Raja Iskandar Syah dan keturunan baginda, Melaka menjadi ternama dan termasyur. Rakyatnya hidup rukun dan damai di negeri terbilang. ~~~~